CATATAN HARI KEDUA: SESI MANTAN MPP USIM BERSAMA PESURUHJAYA TINGGI MALAYSIA DI UK

Pagi ini, seramai 21 orang peserta International Academic Visit to United Kingdom (INAV’18) anjuran mantan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia berpeluang untuk mengadakan sesi temu mata dan perjumpaan bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi di High Commission of Malaysia, London. Pertemuan yang berlangsung selama lebih kurang dua jam ini banyak membincangkan perkara-perkara penting dan pengetahuan ilmiah, khususnya dalam mengetahui mengenai masyarakat Malaysia di United Kingdom dan peranan serta sumbang saran HC terhadap negara di tanah Queen Elizabeth.

Sesi perjumpaan dimulakan dengan pengenalan tentang HC of Malaysia, London oleh Datuk Ahmad Rasidi Hazizi. Datuk Ahmad Rasidi menerangkan serba sedikit tentang peranan HC Malaysia yang bertugas sebagai wakil Malaysia dan menjaga kepentingan Malaysia di negara luar, khususnya di United Kingdom. Menurut beliau, terdapat lebih kurang 18,000 pelajar Malaysia di United Kingdom, merangkumi kawasan London, Manchester, Wales, Ireland dan kawasan-kawasan sekitarnya. Dari 18,000 pelajar Malaysia di sini, hanya satu pertiga daripada mereka yang mempunyai tajaan biasiswa, selebihnya ditanggung oleh ibu bapa mereka. Kebanyakan pelajar Malaysia yang berada di sini adalah di kalangan orang-orang berada dan mampu untuk menyara kehidupan mereka di sini. Hubungan antara Malaysia dan UK juga cukup baik, sebagai contoh terdapat 5 buah universiti UK di Malaysia spt Nottingham University dan Heriott-Watt University dan merupakan yang paling banyak berbanding negara-negara Komanwel yang lain.

Selain HC, terdapat juga beberapa badan yang menjaga kebajikan dan menguruskan pelajar Malaysia di sini seperti Education Malaysia (EM) dan MARA. Di sini juga terdapat Persatuan-Persatuan Pelajar Malaysia (Malaysia Student Society) di setiap Universiti yang mempunyai pelajar Malaysia dan Malaysian Society di setiap daerah di UK. Mereka mempunyai hubungan secara terus dengan HC di London. Selain itu, terdapat juga lebih 100 NGO Malaysia yang berdaftar dengan HC, spt Kelab UMNO dll. Kesemua mereka berperanan untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar dan warga Malaysia di UK.

Sesi diteruskan dengan pengenalan USIM dan program oleh En. Marwan Tahir, selaku Liason Officer dan Pegawai Pengiring rombongan. En. Marwan memperkenalkan USIM sebagai Univbersiti Awam yang ke-12 ditubuhkan oleh kerajaan dan fokus untuk membantu serta mengasah bakat dan kepakaran pelajar-pelajar Melayu Muslim dari lepasan sekolah agama. Antara keunikan USIM berbanding universiti-universiti awam yang lain adalah USIM satu-satunya universiti yang meletakkan mata pelajaran Bahasa Arab dalam Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat wajib untuk masuk ke universiti ini. Ini bermakna semua pelajar USIM mempunyai kemahiran asas dan boleh bertutur serta menulis dalam Bahasa Arab. Selain itu, USIM satu-satunya universiti yang memperkenalkan program pengantarabangsaan seperti Lawatan Antarabangsa dan Global Islamic Student Outreach (GISO) sebagai syarat wajib bagi semua pelajar USIM. Ini memberi pendedahan kepada graduan USIM mengenai dunia luar serta bagaimana mengaplikasikan dakwah di tempat-tempat oranng, seterusnya memberi nilai tambah buat mereka dalam menempuh dunia luar.

Usai pengenalan dari kedua-dua belah pihak, program diteruskan dengan sesi perbincangan. Gelanggang perbincangan dibuka oleh Sdr. Irfan Faruqi, pelajar tahun 4 Fakulti Syariah dan Undang-Undang.. Soalan pertama yang ditanyakan oleh beliau adalah bagaimana untuk menjadi seorang diplomat dan apa prosedurnya. Menjawab soalan Irfan, Datuk Ahmad Rasidi menyatakan bahawa diplomat dan pegawai kedutaan dipilih dari Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan mesti melalui peperiksaan untuk dipilih dan diterima masuk sebagai PTD sebelum diletakkan di Wisma Putra atau mana-mana jabatan dalam Kementerian dan kerajaan. Terdapat 3 peringkat yang harus dilalui. Pertama, semua calon perlu melalui peperiksaan, seterusnya mereka akan ditemuduga dan ditapis, kemudian barulah mereka akan dihantar menyertai kursus sebelum diterima masuk sebagai PTD. Untuk menjadi pegawai kedutaan dan memilih tempat berkhidmat, pegawai PTD akan dipilih melalui proses tendering. Mereka perlu menulis esei mengapa mereka perlu dipilih dan diletakkan di negara tersebut dan dihantar kepada pihak atasan sebelum diterima dan dipilih untuk menjadi pegawai kedutaan. Penguasaan bahasa asing adalah merupakan antara nilai tambah yang boleh diambil kira.

Soalan seterusnya dari Irfan adalah mengenai peluang untuk pelajar USIM menjalani latihan industri atau interenship di Pejabat HC di London. Menurut Datuk Ahmad Rasidi, peluang itu ada namun tidak digalakkan kerana pelajar Malaysia di UK sahaja mencecah 18,000 orang dan jika dibuka, persaingan amat tinggi.

Sesi perbincangan diteruskan dengan dua soalan dari Sdr. Nazrul Nazir, pelajar tahun 4 Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Sdr Nazrul bertanya dua soalan, pertama mengenai peranan HC dalam menjaga kebajikan warga Malaysia di UK dan soalan kedua, sejauh mana perkembangan politik di tanah air mempengaruhi imej Malaysia di UK, khususnya terhadap warga Malaysia dan kerajaan negara lain. Menjawab soalan pertama, Datuk Ahmad Rasidi menerangkan bahawa HC bukanlah sebuah badan kebajikan, namun HC membantu memudahkan warga Malaysia yang dalam kesusahan di UK. Contoh dalam kes warga Malaysia ditipu dan tidak dapat pulang ke Malaysia, HC akan membantu menghubungi keluarga mangsa di Malaysia dan menyediakan tempat tinggal kepada mangsa di Malaysian Hall supaya mereka tidak terdedah kepada ancaman bahaya di negara luar. HC uga akan membantu memudahkan urusan penghantaran pulang ke Malaysia. Antara kes yang pernah diuruskan HC termasuklah kes penipuan, kes warga Malaysia yang sakit dan tiada insuran untuk menampung rawatan di UK, pengurusan jenazah warga Malaysia yang meninggal dunia di UK, dan juga urusan perkahwinan warga Malaysia di UK.

Manakala menjawab soalan kedua, Datuk Ahmad Hazizi menyatakan antara cabaran terbesar HC di UK adalah mengatasi masalah persepsi dalam kalangan warga Malaysia yang terpengaruh dengan politik di tanah air. Dalam kes Pilihan Raya Umum yang ke-13, terdapat ramai warga Malaysia di UK yang menuntut HC menyediakan kemudahan untuk mereka mengundi dalam pilihanraya. HC telah menyediakan perkhidmatan undi pos, namun hanya lebih kurang 1,000 sahaja yang turun mengundi. Antara alasan mereka yang tidak mahu mengundi adalah kerana tidak percaya dengan ketelusan sistem undi pos. Selain itu, perkembangan politik negara yang kini berasaskan sentimen fitnah dan kebencian banyak mempengaruhi imej Malaysia di luar. Contoh semasa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berucap di London yang dikatakan tidak mendapat sambutan dan tiada warga Malaysia yang hadir. Sedangkan pada waktu tersebut beliau masih belum berucap dan gambar yang disiarkan di media sosial adalah gambar lama yang dipalsukan. Ia sedikit sebanyak menjatuhkan imej Malaysia di negara luar.

Sesi soal jawab seterusnya disambung oleh Sdri. Wan Nur Izzati, pelajar tahun 4 Fakulti Syariah dan Undang-Undang yang juga mantan Timbalan Yang Dipertua. Beliau bertanyakan tentang isu brain drain di kalangan pelajar Malaysia di UK dan bagaimana HC menyelesaikan isu tersebut. Datuk Ahmad Rasidi menyatakan bahawa isu brain drain memang berlaku dan terdapat ramai pelajar Malaysia yang tidak mahu pulang ke Malaysia selepas bergraduasi oleh kerana telah mendapat kesenangan dan gaji yang lumayan di sini berbanding di Malaysia. Antara inisiatif yang dilakukan oleh HC di London adalah dengan bekerjasama bersama JPA untuk program My Talent Corp untuk menarik kembali tenaga-tenaga pakar dan bakal-bakal graduan Malaysia di UK. Di samping itu, HC turut mengadakan Career Fair khusus untuk pelajar-pelajar Malaysia dengan memanggil syarikat-syarikat dan institusi kewangan dan perbankan di Malaysia seperti Maybank dsbg bagi membantu mempromosikan pekerjaan di Malaysia kepada graduan. Mereka juga mengadakan sesi temuduga secara terus di sana dan secara tak langsung ia dapat membantu menarik pelajar-pelajar tersebut pulang ke Malaysia selepas mendapat jaminan pekerjaan.

Soalan seterusnya adalah dari Sdri. Fatin Fitriah, pelajar tahun 3 Fakulti Syariah dan Undang-Undang dan Sdri. Azimah, pelajar tahun 4 jurusan kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Soalan yang ditanyakan adalah stentang cabaran terbesar HC dalam menguruskan masalah pelajar atau warga Malaysia dan penglibatan warga Malaysia dalam jenayah. Menjawab soalan tersebut, Datuk Ahmad Rasidi menyatakan bahawa ada pelajar Malaysia yang terbabit dalam LGBT secara terang-terangan dan berkahwin dengan warga UK yang sama jantina (lelaki sama lelaki). Selain itu, terdapat juga kes pelajar MARA yang ditangkap kerana terlibat dalam pornografi kanak-kanak. Ada juga kes pelajar Malaysia yang terlanjur dan melahirkan anak di UK, kemudian menghadapi kesukaran untuk membawa pulang anak tersebut ke Malaysia. Di sini juga terdapat kes pelajar bunuh diri kerana tekanan. Manakala bagi kes jenayah, antara kes yang terbesar adalah kes 3 pelajar Malaysia di Manchester yang dikaitkan dengan pengeboman.
Peranan HC hanyalah membantu dari segi menguruskan mereka dan berhubung dengan keluarga mereka di Malaysia. Namun dalam sesetengah kes, HC akan membantu memudahkan urusan mereka sekiranya ia akan mengundang kemaslahatan yang lebih besar. Contoh dalam kes kematian, HC boleh mambantu menguruskan penghantaran pulang jenazah, namun ia tertakluk kepada undang-undang tempatan. Bagi setiap kes kematian harus diadakan post-mortem dan ia akan mengambil masa yang lama. Hanya selepas mendapat pengesahan dari koroner barulah jenazah dibenarkan untuk dibawa pulang.

Sdri Azimah dan Sdr Haziq dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat juga menanyakan tentang usaha HC dalam mempromosikan budaya dan perlancongan Malaysia di UK. Menurut Datuk Ahmad Rasidi, HC sentiasa komited dalam mempromosikan budaya dan perlancongan Malaysia di UK. Sebagai contoh, HC pernah mengadakan program Malaysian Night di Trafalgar Square. Di sana, mereka memperkenalkan kebudayaan Malaysia, makanan tradisional Malaysia, dan destinasi perlancongan Malaysia kepada warga tempatan. HC juga sering mengadakan Cultural Night dengan kerjasama Malaysian Society dan Malaysian Student Society di UK.

Mengakhiri sesi perbincangan, Sdr Alif, pelajar tahun 4 jurusan komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. menanyakan panndangan Datuk Ahmad Rasidi tentang bagaimana untuk cekalkan diri di negara luar dan apa yang beliau harapkan dari pemimpin masa hadapan. Datuk Ahmad Rasidi menyatakan untuk berada di dunia luar, pelajar mesti tahu bagaimana untuk bersosial dan bagaimana untuk mebina hubungan dengan ramai pihak. Pelajar tidak boleh hidup sendiri kerana hakikatnya kita memerlukan satu sama lain, terutama di negara perantauan. Pelajar juga harus mempunyai jati diri yang kuat dan tidak lupa asal-usul. Manakala sebagai pemimpin masa hadapan, pelajar perlu mempunyai asas agama yang mantap serta akidah yang teguh untuk mengelakkan dari melakukan perkara yang buruk. Pelajar juga harus menanam semangat bersyukur dan cintakan negara. Kita boleh berbeza pandangan dengan kerajaan, namun jangan bencikan negara. Jangan mudah terpengaruh dengan berita yang tidak sahih. Usai sesi perbincangan, program diteruskan dengan sesi penyampaian cenderamata dan fotografi.

Sesungguhnya banyak nilai tambah dan pengetahuan baru yang kami perolehi dari sesi pada hari ini dalam meneruskan perjuangan sebagai graduan integrasi ilmu naqli aqli. Perbincangan ini banyak membuka mata kami tentang dunia luar dan bagaimana peranan HC dalam mebantu warga Malaysia di UK serta cabaran berada di perantauan. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada HC Malaysia di London atas kesudian menerima kehadiran kami. Semoga program ini akan membawa suatu manfaat yang besar dalam membentuk generasi pemimpin yang akan datang.

Laporan disediakan oleh:
Nazrul Nazir
23 Januari 2018, 5.17 am
Gallery Hyde Park, London, UK

Comments

Popular Posts